Kenal Dahulu Status Harta Si Mati Sebelum Bahagi Harta Pusaka
Sebelum harta pusaka si mati dibahagikan, adalah menjadi kewajipan bagi waris mengenal pasti dahulu setiap harta si mati adakah boleh dikategorikan sebagai harta pusaka ataupun tidak.
Pergaduhan sering terjadi disebabkan tidak mengetahui status pemilikan harta si mati dengan tepat. Ahli waris bertanggungjawab untuk mencari kebenaran dan mengembalikan hak kepada pemilik sebenar harta itu jika itu bukanlah harta milik mutlak si mati. Penting menghindari sifat tamak dan sikap suka mencari kesalahan orang lain untuk kepentingan diri sendiri
HARTA YANG DIPINJAM
Sekiranya sesuatu harta itu dipinjam oleh si mati daripada seseorang harta itu hendaklah dikembalikan semula kepada tuannya. Sekiranya pinjaman ini berlaku ke atas harta alih yang tidak berdaftar, seperti barang kemas, pakaian, kereta dan sebagainya, kembalikan harta itu kepada tuannya.
Masalah yang selalu terjadi adalah apabila harta itu didaftarkan dengan nama si mati sama ada harta itu harta alih ataupun harta tak alih.
HARTA YANG DIPEGANG AMANAH
Sekiranya si mati adalah seorang pemegang amanah kepada seseorang atau mana-mana institusi seperti masjid, sekolah agama dan sebagainya harta itu bukanlah harta pusaka si mati walaupun harta itu didaftarkan dengan nama si mati. Tanggungjawab ahli waris untuk mengembalikan harta itu semula kepada orang atau institusi yang si mati memegang amanahnya.
HARTA YANG SUDAH TERJUAL
Kadangkala berlaku penjualan harta seperti tanah atau rumah dibuat tanpa dibuat pindah milik kepada pembeli. Lebih teruk lagi jika tiada langsung dibuat dokumen jual beli sesama mereka.
Waris-waris perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan transaksi jual beli ini. Mereka perlu berbincang dan dapatkan bukti secukupnya yang mengatakan telah berlaku transaksi antara si pembeli dan si mati sewaktu hidup si mati.
HARTA HIBAH
Harta yang sudah dihibah oleh si mati semasa tempoh hayatnya kepada mana mana individu tidak lagi menjadi harta pusaka, sebaliknya menjadi milik penerima hibah tersebut kerana hibah berkuatkuasa semasa hidup.
Di antara punca masalah ialah apabila hibah dibuat tanpa terus dibuat pindah milik kepada penerima Hibah, laitu harta masih terdaftar atas nama pemilikasal. Hibah yang telah dibuat mungkin secara lisan sahaja kepada anak-anak atau saudara mara atau ada pula yang mendokumenkannya dengan nama "dokumen hibah".
HARTA WAKAF
Tanah-tanah yang telah diwakafkan oleh si mati semasa hayatnya untuk tapak masjid, sekolah agama atau sebagainya bukanlah harta pusaka si mati. Dan sekiranya harta pusaka itu masih berdaftar dengan nama si mati maka waris perlu menyempurnakan dengan mendaftarkan kepada yang memperoleh wakaf tersebut (pemegang amanah atau Majlis Agama Islam Negeri).
HARTA YANG DITADBIR SI MATI.
Sekiranya si mati dilantik sebagai 'pentadbir' ke atas sesuatu tanah, bukan bermakna tanah itu adalah kepunyaan si mati sepenuhnya. Mungkin si mati hanya mempunyai sebahagian sahaja hak atas tanah itu. Kenal dahulu mana harta milik si mati kemudian bahagikan ikut faraid atau persetujuan bersama.
Naeem al-Dergawi
Adilah Salleh & Associates
Comments